KUALA LUMPUR: Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memaklumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan menjawab semua isu berkaitan padi dan beras di Parlimen pada 13 Februari ini.
Ujarnya penjelasan itu akan dibuat Mohamad melalui Kenyataan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat disusuli perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen.
“Jemaah Menteri dimaklumkan menteri berkenaan akan menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 13 Februari mengenai isu beras khusus berkait harga lantai belian padi.
“Ia akan disampaikan di Parlimen dan sejurus selepas kenyataan Menteri akan ada perbahasan dan kita sama-sama tunggu kenyataan penuh oleh Menteri,” katanya yang juga Menteri Komunikasi pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Baru-baru ini kerajaan memaklumkan kadar baharu harga lantai padi akan diumumkan dalam masa terdekat bagi memastikan keseimbangan harga dalam pasaran beras tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Kerajaan komited untuk memastikan kenaikan ini tidak membebankan pengguna. Sebahagian kos kenaikan akan ditampung melalui peruntukan sebanyak RM150 juta dalam tempoh enam bulan,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Untuk rekod, kerajaan telah menaikkan harga lantai belian padi pada 2023 kepada RM1,300 per metrik tan berbanding RM1,200 per metrik tan yang ditetapkan sejak 2014.
Sementara itu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) baru-baru ini menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk meningkatkan harga lantai padi kepada RM1,800 per metrik tan bagi membantu golongan pesawah menghadapi peningkatan kos sara hidup.