SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan inisiatif Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) sebagai pendekatan baharu bagi mendekati, mendengar, membantu serta memperkasa rakyat di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Siti Nur Umaira Dato Hasim berkata, MANES memberi tumpuan kepada pembangunan wanita, kanak-kanak dan keluarga menerusi ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh, mampan dan inklusif.
Menurutnya, MANES digerakkan menerusi lima inisiatif utama iaitu MANES @ Suara Kita, Kembara Kasih MANES, MANES Prihatin, MANES Emosi dan MANES @ DuIT Je!
Katanya, MANES @ Suara Kita membawa perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih dekat kepada rakyat menerusi penempatan pegawai di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada masa sama, Kembara Kasih MANES pula membawa pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat secara langsung dan mengenal pasti keperluan mereka.
“MANES Prihatin menggunakan pendekatan door to door, MANES Emosi memberi fokus kepada kesejahteraan emosi dan mental keluarga, manakala MANES @ DuIT Je! memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan serta peluang menjana pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nur Umaira berkata, pelaksanaan MANES mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat bukan sekadar menerima bantuan, malah turut diberikan ruang dan sokongan untuk membina kehidupan lebih berdikari.
“Bagi kita, tiada rakyat yang terlalu jauh untuk disantuni. MANES mahu dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyalurkan RM532,704 bantuan bagi menyokong usaha kebajikan masyarakat.
Daripada jumlah berkenaan, RM339,000 diperuntukkan menerusi Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme kepada 26 pusat pembelajaran autisme, manakala RM193,704 disalurkan sebagai Bantuan Kewangan Kerajaan kepada tiga Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).
Menurutnya, bantuan berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong kanak-kanak yang memerlukan pendidikan selain organisasi yang menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat.










