Loke Persoal Jika Pengerusi PAC Ada Motif Politik Dalam Siasatan MAHB

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin untuk memanggilnya memberi keterangan mungkin bermotifkan politik.

Loke merujuk kepada dakwaan kerugiaan RM500 juta dalam perjanjian penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Loke yang juga setiausaha agung DAP mempersoalkan jika kenyataan Mas Ermieyati bermotifkan politik dan mendakwa ketua Wanita Bersatu itu dilihat cuba mencipta persepsi negatif terhadapnya.

Loke turut mempersoalkan kenapa Kementerian Pengangkutan dikaitkan dengan isu itu sedangkan transaksi MAHB tiada kaitan dengan kementeriannya memandangkan ia syarikat tersenarai.

“Saya tak tahu jika dia tak faham atau pura-pura tak faham. Sangat jelas ini isu ekuiti dan tiada kaitan dengan kementerian.

“Pengerusi PAC perlu adil. Mungkin dia mahu salahkan DAP kerana menteri pengangkutan dari DAP. Semuanya salah DAP,” katanya dalam kenyataan.

“Jika anda mahu penjelasan, tanya KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Kami tiada ekuiti dalam MAHB. Kementerian hanya pengawal selia (pengangkutan) dan peranan kami terhad kepada perjanjian operasi.”

Pada 1 Februari lalu, Mas Ermieyati, berkataPAC tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu termasuk Menteri Pengangkutan berhubung dakwaan kerugian RM500 juta itu.

Mas Ermieyati dilapor berkata Loke bersama semua individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat yang akan bermula minggu kedua bulan ini.

Selasa lalu, konsortium Gateway Development Alliance (GDA) berjaya memperoleh saham mencukupi untuk mengambil alih MAHB dan menjadikannya syarikat persendirian.

GDA merangkumi KWSP, UEM Group Bhd yang disokong Khazanah Nasional Bhd, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan Global Infrastructure Partners yang dimiliki BlackRock.

Sebelum perjanjian itu dimuktamadkan, pengkritik mendakwa KWSP kerugian RM500 juta dalam dagangan saham untuk membeli semula saham MAHB pada harga lebih tinggi selepas menjualnya pada kadar lebih rendah.

Presiden MCA Wee Ka Siong dilaporkan berkata, kepentingan KWSP dalam MAHB merosot daripada 15% ke bawah 6% pada 2023 sebelum membeli semula saham itu pada 2024 ketika GDA merancang pengambilalihannya.

 

BBerkaitan

Latest articles