Hukuman Rotan Murid Hanya Pada Guru Besar, Guru Diberi Kuasa

KUALA LUMPUR: Sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, hukuman rotan terhadap murid hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar atau guru yang diberikan kuasa, demikian menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Ujarnya peruntukan perundangan sedia ada tidak memberi kuasa kepada ibu bapa atau orang awam untuk mengambil tindakan fizikal terhadap murid yang melakukan kesalahan, termasuk rotan.

Malah hukuman rotan terhadap murid tidak boleh dilaksanakan di hadapan khalayak ramai atau di tapak perhimpunan sekolah, sebagaimana yang diperincikan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 berkaitan Kuasa Guru Merotan Murid.

Selain itu, hukuman ini juga tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan.

Menurut Fadhlina, rotan hanya dibenarkan bagi kesalahan berat, termasuk kesalahan buli, namun ia bukan bertujuan untuk mendera, sebaliknya sebagai kaedah pendidikan untuk mendidik dan mendisiplinkan murid agar mereka memahami kesan perbuatan mereka.

“Hukuman ini hanya boleh dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan oleh pihak yang diberi kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada soalan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun), yang bertanya sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia membenarkan waris pelajar yang dibuli untuk merotan pembuli di hadapan perhimpunan sekolah.

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan bahawa KPM lebih mengutamakan pendekatan pendidikan yang membina, seperti bimbingan kaunseling dan pengukuhan nilai murni, yang dianggap lebih efektif dalam membentuk sahsiah murid yang berakhlak dan berintegriti.

Beliau juga menekankan kepentingan komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam menangani isu disiplin murid.

“KPM sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan disiplin di sekolah selari dengan dasar pendidikan yang mengutamakan pembentukan akhlak dan integriti.

“Semua pihak diseru untuk bersama-sama memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif, dan harmoni bagi melahirkan generasi yang berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles