Guru BI Mohon Dibicarakan Kes Cabul Dua Pelajar Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang guru di sebuah sekolah menengah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini terhadap lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki berusia 13 tahun antara Ogos hingga November 2023.

Sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, tertuduh, Ahmad Fairus Abu Zaik, 44, membuat permohonan untuk dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga keempat, guru Bahasa Inggeris itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di bilik media sekolah menengah agama di Simpang Empat, Kangar sekitar 2.30 petang, 3 petang, 2.40 petang dan 10 malam pada 21 Ogos, selain 13 Sept dan 27 Nov 2023 lalu.

Bagi pertuduhan kelima, dia didakwa melakukan perbuatan sama dengan menyentuh bahagian kemaluan seorang lagi pelajar lelaki sekolah berkenaan berusia 13 tahun di lokasi sama sekitar 12.15 tengah hari pada November 2023 lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan sebat, selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 3 Mac.

BBerkaitan

Latest articles