KUALA LUMPUR: Seorang warga emas ‘berpantang maut sebelum ajal’ selepas lori yang dipandunya terbakar teruk di Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya semalam.
Timbalan Ketua Polis Sepang, Shan Gopal Krishnan, berkata pemandu lelaki berusia 70-an dalam perjalanan dari Dengkil ke Puchong kira-kira 6.30 petang sebelum menyedari asap keluar daripada enjin lori tersebut.
Katanya, lelaki tersebut cuba memberhentikan kenderaan di tepi jalan tetapi tidak sempat kerana api marak.
“(Pemandu) bertindak terjun keluar dari lori dan lori telah bergerak sendiri di atas jalan.
“(Pemandu lori) mengalami luka-luka ringan manakala lorinya hangus terbakar,” katanya dalam kenyataan.
Dalam klip video tular, lori yang sedang marak terbakar itu kelihatan bergerak sendiri di KM38 lebuh raya tersebut, dari laluan kanan menuju ke simpang keluar.
Shan Gopal berkata, pemilik lori kemudian memaklumkan pemandu itu membuat laporan polis, yang dibuatnya hari ini.
“Pemilik lori tidak mahu membuat tuntutan insurans kerana nilai tuntutan sedikit sahaja,” katanya.