Titah Addendum: PAS Adakan Himpunan Solidariti Untuk Najib

KUALA LUMPUR: Satu himpunan akan dianjurkan PAS iaitu ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Jan depan, iaitu tarikh yang sama bekas Perdana Menteri itu akan membuat rayuan terhadap titah addendum.

PAS, menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan telah mengedarkan surat berkaitan himpunan itu yang dihantar kepada pesuruhjaya PAS Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, dan Pahang serta setiausaha sayap-sayap parti.

Perincian himpunan itu memaklumkan ia akan diadakan mulai 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Jelas Takiyuddin, himpunan itu diadakan bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri itu dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah addendum Agong.

“Sehubungan itu saudara-saudari dipinta menggerakkan ahli PAS bawah pentadbiran masing-masing supaya menghadiri himpunan tersebut,” kata Takiyuddin dalam surat tersebut.

Beliau menggesa ahli-ahli PAS menghadiri perhimpunan itu ‘demi menunjukkan suatu isyarat nyata kepada kerajaan Madani tentang keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat’.

Untuk rekod Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Jan depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah addendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

BBerkaitan

Latest articles