KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah diminta untuk menjelaskan hukum berkenaan isu menyimpan dan membekukan mayat.
Gesaan itu disuarakan Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar sambil menegaskan langkah itu perlu supaya dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Ini berikutan kes tular membabitkan mayat seorang bayi lelaki yang meninggal dunia selepas dilahirkan disimpan dalam peti sejuk sebuah hospital swasta selama dua minggu.
Tindakan itu didakwa diambil pihak hospital berikutan ketidakmampuan bapa kepada bayi berkenaan untuk membayar bil hospital berkenaan yang terletak di Selangor.
“Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat dan saya telah pun meminta Datuk Luqman untuk memberi pandangan beliau.
“Meskipun kejadian itu berlaku di Selangor, tidak salah bagi seorang mufti untuk mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian menyayat hati itu,” katanya kepada media selepas Sidang Media Bajet Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bangunan MAIWP, hari ini.
Dr. Mohd Na’im juga mengalu-alukan pandangan dan penjelasan berkenaan yang sama daripada semua mufti negeri lain.
“Masyarakat akan tertanya-tanya sekiranya ia melibatkan persoalan hukum. Jadi dengan kuasa yang ada, tidak salah untuk mufti mengeluarkan pandangan dengan segera,” tambahnya.