Keseimbangan Inovasi, Generasi Kerja Fokus Utama Forum ” YTL – GenConnect “

KUALA LUMPUR: Perkembangan teknologi yang berlangsung seiring dengan peredaran zaman menjadi antara topik utama Forum GenConnect: “Membina Bersama untuk Masa Depan, Memperkasa Kolaborasi Antara Generasi dan Tempat Kerja Inklusif” anjuran YTL Construction.

Turut bekerjasama dengan British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC), forum ini memberi peluang kepada peserta mendengar pandangan daripada kumpulan pakar dan inovator industri.

Selain itu, mereka juga membincangkan kaedah merapatkan jurang generasi dalam budaya kerja, dan dalam masa yang sama mencari persamaan dalam memenuhi komitmen dan tugasan yang diberi.

Ditubuhkan pada tahun 1955 oleh Tan Sri Yeoh Tiong Lay, YTL Construction menyumbang peranan membangunkan Malaysia melalui projek mercu tanda seperti Express Rail Link (ERL), projek Gemas-Johor Bahru Electrified Double Track (GJBEDTP), pembinaan hospital dan taman data canggih YTL Green Data Centre Park di Kulai, Johor.

Mengimbangi Perbezaan Generasi, Teknologi

Sementara itu, Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan menyifatkan penganjuran forum ini bertepatan dengan persediaan YTL Group untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-70 pada tahun hadapan.

Dalam ucapan pembukaannya, Yeoh berkongsi perjalanan transformasi syarikat tersebut yang masih berpegang kepada identiti dan budaya kerja yang sama.

 

“YTL bermula dengan projek-projek kecil seperti pembinaan hospital dan sekolah pada era awal kemerdekaan Tanah Melayu. Kini, ia telah berkembang menjadi sebuah konglomerat global dengan aset bernilai RM83.8 bilion dan pendapatan sebanyak RM29.6 bilion pada tahun 2023.

“Hari ini, YTL Group mempunyai lebih 12,000 kakitangan di seluruh dunia. Bagi YTL Construction sahaja, terdapat lebih 1,000 tenaga kerja, dengan 70% daripada mereka terdiri daripada generasi Milenial dan Gen Z. Generasi baharu ini membawa idea segar dan inovasi yang melengkapi pengalaman kakitangan senior kami.

“Kekuatan sesebuah syarikat terletak pada orangnya dan komitmen mereka terhadap kecemerlangan. Kata-kata datuk saya ini terus menjadi panduan kami hingga ke hari ini,” katanya.

YTL Di Fasa Ketiga Transformasi

Dalam usaha memastikan kejayaan berterusan YTL kini berpegang kepada tiga tonggak utama: teknologi, inovasi, dan pembangunan bakat.

Antara pendekatan strategik yang dilaksanakan termasuk penggunaan Building Information Modeling (BIM) untuk meningkatkan kecekapan reka bentuk dan pengurusan projek.

“Teknologi ini membolehkan perancangan dan pelaksanaan yang lebih sistematik, sekali gus mengurangkan risiko serta kos,” kata Yeoh.

Begitu juga dengan penggunaan teknologi moden seperti dron dan kamera 360 darjah digunakan untuk memantau projek secara waktu nyata.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan ketepatan dalam pelaksanaan projek, tetapi juga mendorong penyelesaian kreatif pada setiap peringkat,” jelasnya.

Untuk membangunkan tenaga kerja yang dinamik, Yeoh berkata syarikat turut melaksanakan inisiatif seperti YTL Learning Academy dan bengkel “Building Better Teams” yang memberi peluang kepada kakitangan untuk meningkatkan kemahiran serta berkongsi idea.

Pendekatan ini bertujuan melahirkan pasukan yang lebih kompeten dan berdaya saing.

BBerkaitan

Latest articles