PUTRAJAYA: Dalam usaha menangani bencana banjir yang sedang melanda negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru syarikat swasta untuk memainkan peranan lebih besar dalam membantu mangsa banjir.
Beliau menekankan keperluan kolaborasi menyeluruh antara sektor awam dan swasta bagi memastikan bantuan yang diberikan bersifat menyeluruh dan berkesan.
Kerjasama Sektor Swasta dan Awam Anwar menyeru syarikat swasta untuk bukan sahaja menyediakan dana tetapi juga turut menggerakkan jentera bantuan. “Bukan hanya soal kewangan, tetapi juga sokongan logistik dan tenaga kerja amat diperlukan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terjejas,” katanya.
Beliau turut menekankan perlunya syarikat-syarikat besar dari pelbagai lokasi seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Ipoh untuk turun padang memberikan sokongan.
Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Khazanah Nasional Berhad, PETRONAS, dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah diarahkan untuk menggerakkan semua syarikat di bawah pengurusan mereka dalam usaha bantuan ini.
Bank-bank tempatan juga dilaporkan telah mengambil inisiatif sendiri untuk menyumbang kepada usaha bantuan mangsa banjir katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi pengiktirafan yang diterima Malaysia di peringkat antarabangsa. Dalam pertemuan dengan pemimpin dunia di pelbagai acara seperti APEC dan Rio, Malaysia dipandang sebagai negara yang berintegriti, terutama dalam memerangi rasuah. Sebagai contoh, Presiden Peru dan Brazil memuji pendekatan Malaysia dalam isu anti-rasuah, sementara syarikat seperti PETRONAS dan Yinson mendapat peluang pelaburan besar di Brazil.
Di dalam ucapannya juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa perkhidmatan jentera kerajaan, termasuk menteri, pegawai perkhidmatan awam, dan agensi kesihatan, telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menghadapi bencana banjir. Beliau berkongsi pengamatan beliau semasa lawatan ke Setiu, di mana pegawai-pegawai kelihatan keletihan tetapi tetap melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi tinggi.
Namun, menurut Perdana Menteri, aspek positif seperti ini jarang dihebahkan. Sebaliknya, tumpuan sering diberikan kepada kelemahan kecil, seperti kelewatan dalam proses kelulusan atau salah laku segelintir pihak. Beliau menyeru agar pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada pasukan yang melibatkan puluhan ribu anggota, termasuk lebih 80,000 jentera kerajaan yang dikerahkan untuk membantu mangsa banjir.
Selain itu, Perdana Menteri turut memuji peranan NGO dan individu yang membantu secara sukarela. Sebagai contoh, seorang individu dari Bukit Mertajam menguruskan penghantaran 10 lori makanan ke Kelantan dan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyelaras bantuan. Tindakan seperti ini, menurut beliau, mencerminkan kekuatan solidariti rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Perdana Menteri menyeru agar usaha dan komitmen seperti ini dihebahkan, sebagai bukti keprihatinan dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan negara.
Mangsa Banjir Masih Tinggi Setakat pagi tadi, seramai 136,984 orang daripada 41,341 keluarga masih berlindung di 638 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan negeri. Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 85,824 orang dari 26,799 keluarga yang kini berada di 251 PPS di sembilan daerah