KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah sekolah menengah di kawasan Jelutong, petang semalam.
Remaja berusia 14 tahun itu dipercayai ditemui di tingkat bawah bangunan sekolah setinggi lapan tingkat itu sebelum pihak sekolah menelefon ambulans untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa meninggalkan nota tertekan kerana tidak dapat mencapai status pelajar nombor satu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hopsital Pulau Pinang (HPP) berhubung kematian pelajar itu pada jam 5.57 petang.
”Siasatan pihak polis di lokasi kejadian dan badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Kita juga membuka laporan mati mengejut untuk membolehkan siasatan lanjut dibuat.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis serta menularkan gambar, video lokasi kejadian bagi menghormati perasaan waris mangsa,” katanya malam tadi.
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, mereka sedang menunggu ibu bapa kepada remaja itu yang kini sedang membuat laporan polis berhubung kejadian di balai polis berhampiran.
“Kami tak tahu maklumat lanjut apa yang terjadi dengan anak sepupu saya (mangsa) dan kini sedang tunggu ibu bapa dia datang dari balai polis,” katanya ringkas tanpa mahu mendedahkan nama.