Kota Kinabalu: Seorang penganalisis politik berpendapat Barisan Nasional (BN) Sabah berdepan kesukaran untuk mencipta kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya bertanding secara solo tanpa kerjasama politik dengan parti-parti lain.
memetik laporan FMT, Pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah, Bilcher Bala, menyatakan bahawa jenama BN di Sabah kini sudah lapuk dan memerlukan transformasi melalui gabungan dengan parti-parti lain untuk meraih sokongan rakyat. Menurutnya, trend politik terkini menunjukkan kecenderungan ke arah pembentukan gabungan politik yang lebih besar dan inklusif, yang membolehkan pelbagai parti bergabung untuk mengukuhkan kedudukan.
“Konteks trend politik terkini adalah transformasi politik gabungan. Maka BN tidak boleh bergerak solo sama ada dalam PRN atau PRU di Sabah,” kata Bilcher, sambil menambah bahawa rakyat Sabah ingin melihat perubahan dalam gabungan parti politik yang ada di negeri itu.
Ketika ini, BN Sabah terdiri daripada empat parti, iaitu Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA, dan MIC, namun Bilcher berpendapat bahawa kombinasi ini tidak mencukupi untuk menghadapi saingan sengit dalam PRN akan datang
Sebaliknya, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah menyuarakan pandangan yang berbeza. Beliau berpandangan bahawa pertembungan pelbagai penjuru dalam PRN Sabah adalah tanda kematangan demokrasi di negeri itu. Tony berpendapat bahawa setiap pakatan politik yang bertanding secara solo akan berpeluang untuk menguji kekuatan masing-masing.
“Setiap pakatan mahupun parti politik tempatan mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri dan ini bakal diuji dalam PRN kali ini,” jelas Tony, sambil menambah bahawa dinamik politik Sabah yang cair (fluid) akan memunculkan dominasi mengikut kawasan ‘status quo’.
Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, baru-baru ini menyatakan kesediaan BN untuk bergerak secara solo dalam PRN akan datang sekiranya tiada persepakatan kerjasama dengan parti-parti lain. Beliau menegaskan bahawa BN dan Umno Sabah telah bersedia untuk menghadapi PRN dengan jentera yang telah dipersiapkan.
Namun begitu, keputusan BN untuk bertanding secara solo berisiko jika tidak mendapat sokongan yang cukup di negeri yang terkenal dengan pelbagai sentimen politik dan keunikan landskap politiknya. Perkembangan ini pasti akan menjadi tumpuan utama PRN Sabah, dengan rakyat menantikan sama ada BN mampu mencipta strategi baharu untuk kekal relevan atau akan dipinggirkan dalam landskap politik baharu di negeri di bawah bayu ini.