KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah mahu membawa agenda Maju Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sekiranya dipilih mewakili penduduk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 28 September ini.
Beliau berpandangan agenda Maju Johor merupakan satu pelan pembangunan negeri yang lengkap merentasi pelbagai aspek serta semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, sepanjang kempen PRK berlangsung juga, Syed Hussien menawarkan teras ‘Maju Johor’ buat masa ini sehingga satu manifesto khusus PRK diumumkan kelak.
“Buat masa ini kita masih berbincang berkenaan manifesto khusus untuk PRK DUN Mahkota ini.
“Tetapi kita di peringkat negeri telah menyasarkan agenda Maju Johor untuk diperkasakan di kawasan ini kerana perkara yang ditekankan dalam teras itu telah mencakupi semua pihak berkepentingan termasuk golongan kanak-kanak, wanita, orang muda dan banyak lagi,” katanya selepas sesi turun padang bertemu usahawan muda sempena PRK DUN Mahkota di Dewan Muafakat Kampung Tengah, hari ini.
Untuk rekod kerajaan Negeri Johor pada tahun lalu melancarkan agenda `Maju Johor’ sebagai satu inisiatif untuk merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.
Dirangka dengan enam teras utama iaitu urus tadbir kerajaan yang baik; pembangunan ekonomi; jaringan keselamatan sosial; kemudahan dan keperluan asas; keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam serta orang muda Johor.
Sementara itu, ditanya berkenaan gerak kerja kempen beliau sepanjang PRK Mahkota setakat ini, Syed Hussien berkata, beliau memfokuskan untuk bertemu dengan sebanyak mungkin kelompok-kelompok pengundi secara bersemuka.
Katanya, kaedah bertemu secara bersemuka itu dilihat lebih berkesan memandangkan para pengundi dapat menyuarakan hasrat serta masalah mereka secara terus kepada beliau untuk dipanjangkan kepada pihak berkaitan bagi diselesaikan.
“Kita akan kekalkan cara kempen `door to door’ (bersemuka) dalam kelompok yang kecil.
“Sebab saya dapat rasakan sentuhan dengan pengundi itu penting, kita dapat dengar segala luahan mereka dan pengundi juga selesa bertemu secara bersemuka,” katanya.