Pejabat Sultan Selangor hari ini menitahkan mengenai sejarah serta legasi Piala Sultan Selangor yang dilangsungkan baru-baru ini.
Melalui hantaran di laman facebook rasmi sebentar tadi, Pejabat Sultan Selangor berkata Piala Sultan Selangor atau The Sultan Selangor’s Cup (TSSC) telah diperkenalkan 23 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2001 bertujuan untuk mempererat persaudaraan dua pasukan seteru utama Liga Malaysia suatu ketika dahulu iaitu Selangor FA dan juga Singapura FA.
Idea penganjurannya dicetuskan sendiri oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, di mana pada tahun yang sama Baginda ditabalkan sebagai Sultan Selangor.
Mengimbas semula, perseteruan antara Selangor dan Singapura dalam arena bola sepak Malaysia adalah amat menakjubkan kerana kedua pasukan ini adalah yang paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada zaman tersebut.
Tidak seperti kejohanan lain, Piala Sultan Selangor adalah eksklusif untuk satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura. Di samping itu, turut diadakan perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura.
berikut adalah siaran penuh Pejabat Sultan Selangor hari ini
20 Ogos 2024 ~
LEGASI PIALA SULTAN SELANGOR
Piala Sultan Selangor atau The Sultan Selangor’s Cup (TSSC) telah diperkenalkan 23 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2001. Tujuannya adalah untuk mempererat persaudaraan dua pasukan seteru utama Liga Malaysia suatu ketika dahulu iaitu Selangor FA dan juga Singapura FA.
Idea penganjurannya dicetuskan sendiri oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, di mana pada tahun yang sama Baginda ditabalkan sebagai Sultan Selangor.
Mengimbas semula, perseteruan antara Selangor dan Singapura dalam arena bola sepak Malaysia adalah amat menakjubkan kerana kedua pasukan ini adalah yang paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada zaman tersebut.
Tidak seperti kejohanan lain, Piala Sultan Selangor adalah eksklusif untuk satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura. Di samping itu, turut diadakan perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura.
Kenapa perlu ada Piala Sultan Selangor?
Bagi yang mengikuti rapat kancah bola sepak negara, sejak Piala Malaysia diperkenalkan pada tahun 1921 (ketika itu dikenali sebagai Piala Malaya, kemudian Piala HMS Malaya), Selangor dan Singapura adalah antara pasukan terhebat dan kerapkali bertembung di perlawanan akhir bagi merebut piala berkenaan. Malah perlawanan akhir pertama Piala Malaya pada tahun 1921 menyaksikan Singapura berjaya menewaskan Selangor.
Sejak itu, Selangor dan Singapura telah bertemu sebanyak 22 kali lagi di perlawanan akhir Piala Malaysia yang ternyata membangkitkan semangat perseteruan kesukanan dalam arena bola sepak yang turut dirasai oleh penyokong kedua-dua pasukan sejak berdekad lamanya.
Dan dalam tempoh itu, Selangor telah menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada tahun 2015. Manakala Singapura dengan 22 kejuaraan.
Pertembungan di antara Selangor dan Singapura sentiasa dinantikan sehingga digelar sebagai Malayan El Clàsico, di mana kedua-dua pasukan musuh tradisi ini sentiasa menampilkan persaingan sihat dan saling hormat menghormati. Sehinggalah pada tahun 1994 apabila Singapura menarik diri dari Liga Malaysia.
Justeru, DYMM Sultan Selangor telah mencadangkan penganjuran Piala Sultan Selangor bermula pada tahun 2001 bagi meraikan dan mengimbas kembali hebatnya perseteruan tradisi antara Selangor dan Singapura yang pernah mewarnai arena bola sepak tempatan.
Diadakan setiap tahun sama ada di Stadium Shah Alam atau National Stadium Singapura, kali terakhir kejohanan ini berlangsung adalah pada tahun 2019 sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Sepanjang diadakan lebih dua dekad, Pasukan Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019. Pasukan Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.
Pada 2004 kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, manakala pada 2015 terpaksa dibatalkan kerana jerebu.
Kembali dengan edisi 2024, Piala Sultan Selangor kali ini dianggap berbeza kerana ia diadakan semula di medan keramat kedua-dua pasukan iaitu di Stadium Merdeka.
Pada edisi terbaharu kali ke-18 yang telah berlangsung pada 17 Ogos 2024, Pilihan Selangor berjaya merangkul kejuaraan hatrik berturut-turut dengan menewaskan Pilihan Singapura 2 gol berbalas 1.
Ternyata, saingan Piala Sultan Selangor 2024 dianggap telah menggamit banyak nostalgia dan kenangan, terutama bagi lagenda dan penyokong kedua-dua pasukan.
Lagenda bola sepak Selangor seperti Datuk Zainal Abidin Hassan dan lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad sendiri mengakui mereka amat teruja dengan penganjuran Piala Sultan Selangor yang disifatkan sebagai satu platform mengimbas kembali nostalgia “permusuhan tradisi” antara kedua-dua pasukan.
Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan.
Selain mengembalikan nostalgia, penganjuran Piala Sultan Selangor adalah antara acara yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan yang merindui zaman kegemilangan bola sepak Malaysia.
Diharapkan penjelasan ini dapat memberi fakta yang tepat dan manfaat pengetahuan yang lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah sebenar kewujudan Piala Sultan Selangor.
Apa yang ingin ditekankan juga, simbolik persahabatan dan muhibah kesukanan yang diraikan menerusi semangat Piala Sultan Selangor ini dapat dimanifestasi sebagai teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan yang masih berleluasa khususnya dalam arena bola sepak tempatan.
Hentikan Keganasan Dalam Sukan Bola Sepak
#stoptheviolence