Kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi meningkatkan fasiliti keselamatan sempadan utara Semenanjung, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata, ia antara usaha kerajaan menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan, seiring komitmen Malaysia dan Thailand merancakkan ekonomi di utara Semenanjung dan selatan Thailand.
Sehubungan itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin pada 3 Ogos bagi membincangkan isu keselamatan negara dan ekonomi dua wilayah itu.
“Pada 3 Ogos ini saya akan bertemu PM Thailand di Sungai Golok dan Rantau Panjang untuk bicara soal keselamatan sempadan dan rancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung.
Untuk kemudahan itu, saya setuju luluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk sempadan Kedah, Kelantan, dan Perlis, katanya ketika merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Anwar turut mengarahkan agar prosedur kerajaan bagi usaha penambahbaikan itu dipermudah dan dilonggarkan.
Namun, ditegaskan bahawa pembelian aset-aset keselamatan mesti dibuat dengan cara yang lebih tersusun dan terencana agar tatakelola dan tadbir urus perolehannya berintegriti serta menjimatkan kos kerajaan,
Dalam pada itu, beliau menegaskan meskipun menjaga keselamatan dan kedaulatan negara menjadi tugas kerajaan, namun penglibatan rakyat amat kritikal mewujudkan sinergi pengurusan keselamatan bersepadu.
Menurutnya, konsep Malaysia Madani juga membuahkan hasil apabila negara melonjak sembilan anak tangga dalam Global Peace Index 2024 untuk berada dalam kelompok 10 negara paling selamat di dunia.
Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) juga menunjukkan skor IKK bagi 2023 ialah 1.48 iaitu satu pencapaian yang amat membanggakan, katanya.