Malaysia Komited Mahu Pembunuhan Rakyat Gaza Dihentikan Secara Kekal

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan pendirian supaya pembunuhan beramai-ramai dan peperangan berterusan di bumi Gaza perlu dihentikan serta-merta.

Wisma Putra, menerusi kenyataan pada hari ini menyifatkan cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk gencatan senjata sepenuhnya, pembebasan tawanan dari kedua-dua pihak, usaha ke arah menamatkan permusuhan secara kekal, dan rancangan pembinaan semula yang komprehensif untuk Palestin sebagai satu langkah yang tepat.

“Malaysia menyeru pihak yang berkaitan menerima cadangan itu dan berusaha ke arah pelaksanaan sepenuhnya sebagai langkah yang terbaik untuk menamatkan malapetaka berterusan di Gaza dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari wilayah Palestin.

“Masyarakat antarabangsa juga mesti mengutamakan bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza,” katanya dalam kenyataan di sini.

Biden, pada Sabtu lalu mengumumkan cadangan tiga fasa dikemukakan Israel bagi menamatkan perang di Gaza, termasuk gencatan senjata dan pembebasan tahanan Israel dan tebusan dalam tawanan Hamas.

Beliau turut mengemukakan elemen utama pelan ‘menyeluruh’, yang menurutnya akan menjadi ‘peta hala tuju ke arah gencatan senjata berkekalan’.

Biden berkata, fasa pertama termasuk ‘gencatan senjata penuh dan lengkap’ selama enam minggu, dengan tentera Israel berundur dari ‘semua kawasan berpenduduk di Gaza.’

Hamas akan membebaskan ‘sebilangan’ tebusan yang ditahan dalam serangan 7 Oktober ke atas Israel, termasuk wanita, warga emas dan mereka yang tercedera.

Malah, mayat beberapa tebusan yang dibunuh juga akan dikembalikan.

Tambah Wisma Putra, Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

BBerkaitan

Latest articles