KUALA LUMPUR: Tular sejak awal hari ini adalah rakaman video memaparkan seorang guru bertindak kasar terhadap murid sewaktu penganjuran majlis rasmi di sebuah sekolah baru-baru ini.
Dipercayai kejadian berkenaan berlaku di sebuah sekolah di negeri di Pantai Timur.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum rakaman video tersebut, dengan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan segera.
“Golongan pendidik dinasihatkan untuk sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme profesion keguruan.
“KPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu video dengan durasi 41 saat itu dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial milik seorang wanita dengan teks tulisan ‘pendidik harus terdidik’ memaparkan seorang guru bertindak memarahi dan memukul bahagian kepala seorang murid lelaki.