Anwar Buat Rombakan Kabinet Esok?

KUALA LUMPUR: Spekulasi kononnya bakal berlaku rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan kuat bertebaran, apabila ia dilaporkan bakal berlaku pada esok.

Laporan Bernama juga memetik sumber memaklumkan bahawa istiadat angkat sumpah jawatan akan berlangsung petang esok, di Istana Negara.

“Istiadat angkat sumpah Menteri Persekutuan dijadualkan pada 2.30 petang esok,” lapor Bernama.com.

Khabar angin rombakan pertama kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mula kedengaran sejak beberapa bulan lalu, apabila ada yang mendakwa beberapa Menteri tidak menunjukkan prestasi sebaiknya dalam portfolio masing-masing.

Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali turut menolak desas-desus itu.

Katanya, rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu.

Bagaimanapun beliau berkata perkara itu terserah kepada Anwar untuk melakukannya kerana perkara itu disebut akan berlaku sebelum akhir tahun ini.

“Media lagi tahu dan tidak berbangkit dalam mesyuarat Kabinet. Saya fikir Perdana Menteri ada menyebut di Putrajaya bila ada bertanya, rombakan akan dibuat sebelum 2024,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles