KUALA LUMPUR: Veteren DAP, Lim Kit Siang membangkitkan persoalan sama ada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang terbuka untuk memberi muka baru memimpin parti itu.
Ini kerana PAS pada hari ini semakin berubah dari landasan imej dan perjuangan Islamnya, dengan dilihat sebagai parti yang menolak ucapan kebencian, penipuan, fitnah, dan berita palsu, kata bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi.
Apatah lagi PAS juga menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu lalu menerusi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Persoalannya sekarang adalah sama ada Hadi Awang akan meletakkan jawatannya sebagai Presiden PAS untuk membolehkan Samsuri mengambil alih dan memimpin sebuah PAS yang bersifat lebih moderat dan terbuka, menjadi sebuah parti yang menolak ucapan kebencian, penipuan, fitnah, dan berita palsu — perkara-perkara yang sudah menjadi sinonim dengan PAS sejak meninggalkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015?
“Masa hadapan Malaysia amat gelap sekali sekiranya salah satu parti Pembangkang utama di Parlimen dipimpin oleh Ahli-ahli Parlimen, termasuklah yang memegang ijazah doktor falsafah, yang buta media dan mereka yang gagal untuk membezakan di antara kebenaran dan penipuan atau mengenal pasti fitnah, berita palsu, dan perkara yang tidak tepat,” ujarnya dalam satu hantaran di media sosialnya.
Baru-baru ini, Ahmad Samsuri juga dicanang sebagai “calon perdana menteri” dan berkelayakan untuk memegang tampuk negara, oleh dua bekas perdana menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.