Perbincangan Dengan Mufti Berkenaan Konsert Coldplay

KUALA LUMPUR: Selepas wujud gesaan membatalkan konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang dijadualkan esok, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pandangan bahawa kumpulan muzik luar negara itu menyokong Palestin turut diambil kira di dalam perbincangan itu nanti.

“Jadi ada masalah sikit, nak beritahu dalam kerajaan yang lalu telah luluskan juga.

“Saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini (penganjuran konsert) kerana ada pelobi-pelobi daripada gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) dan juga di pejabat saya menyatakan mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

“Tetapi kalau perkara ini dibangkitkan kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita setuju itu, akan saya bincang semula,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan soalan mengenai pendirian kerajaan berhubung penganjuran konsert Coldplay dan semua persembahan konsert lain.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Rabu.

Katanya, acara itu bukan sahaja melalaikan bahkan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negara ini.

Menurutnya, Coldplay menyokong kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) itu jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles