Anwar Tekan Kepentingan Kedaulatan Undang-undang, Prinsip Kehakiman Bebas

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dirinya tidak pernah masuk campur atau ‘mencerobohi’ kesucian dan bidang kuasa badan kehakiman negara ini.

Anwar menegaskan bahawa beliau dan kerajaan pimpinannya akan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dengan apa juga cara.

“Hari ini, dan sejak kebelakangan ini, kita mendengar rungutan yang membingungkan – tidak semestinya mencerminkan (suara) majoriti – bahawa cabang eksekutif organ-organ negara melakukan penipuan yang sama, mengganggu proses yang wajar dan menjadikan badan kehakiman sebagai senjata.

“Tiada sekelumit kebenaran pun dalam dakwaan keji ini, yang kini diulang-ulang di media sosial,” kata Anwar pada Perhimpunan Persatuan Undang-Undang ASEAN ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN (ALA) 2023, hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Singapura Sundaresh Menon selaku Presiden ALA, ketua hakim, peguam negara serta pengamal undang-undang dari negara ASEAN.

Perdana Menteri juga menegaskan kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan, selain kuasa kerajaan mesti digunakan mengikut Perlembagaan.

Ia berasaskan prinsip bahawa kerajaan dan mereka yang memegang kuasa mesti bertanggungjawab atas keputusan dan tindakan dengan sikap telus dan terbuka.

“Bercakap mengenainya, dengan risiko kedengaran seperti ‘rekod yang rosak’ izinkan saya sekali lagi menggariskan kepentingan utama sebuah badan kehakiman yang bebas, tidak berat sebelah dan berwibawa.

“Sebagai benteng keadilan itu sendiri, badan kehakiman sebegitu adalah sine qua non kedaulatan undang-undang,” tegas Anwar.

BBerkaitan

Latest articles