KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara ringkas menolak khabar angin kononnya berlaku rombakan Kabinet esok.
Jelas Anwar, beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah pada hari ini adalah untuk mempersembah isi mesyuarat Kabinet esok.
“Tak ada apa-apa esok. Belum ada. Tadi saya mengadap Tuanku untuk berbincang Kebinet esok. Tidak ada kaitan lagi dengan perubahan Jemaah Menteri.
“Esok lepas mesyuarat Kabinet saya ke Sabah dan kemudian ke Abu Dhabi,” kata Anwar yang ditemui selepas menyampaikan ucapan penutup Forum Khazanah Megatrends (KMF), hari ini.
Terdahulu beberapa laporan media mengatakan berlaku rombakan kabinet pada esok, antaranya menyebut Datuk Seri M Saravanan dari MIC dan Hannah Yeoh dari DAP adalah nama terbaru muncul dalam perbincangan semasa mengenai rombakan Jemaah Menteri.
Timbalan Presiden MIC itu didakwa bakal menjadi anggota kabinet kononnya untuk mengukuhkan sokongan masyarakat India kepada kerajaan, selepas pengaruh pembangkang pada PRN enam negeri, Ogos lalu.
Bukan sahaja Saravanan, turut disebut adalah wakil MCA mungkin dikembalikan dalam jemaah menteri susulan rombakan yang diuar-uarkan bakal dibuat selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hujung minggu ini.
Untuk rekod, Anwar pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, tidak menolak kemungkinan membincangkan mengenai rombakan kabinet ketika beliau menghadap Al-Sultan Abdullahdi Istana Negara.
Bagaimanapun, jelasnya, rombakan kabinet ketika ini tidak terlalu mendesak kerana hanya terdapat satu kekosongan jawatan menteri yang perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ini susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.