Insiden Tayang Kertas Undi, Sanusi Dakwa Hanya Layan Kehendak Petugas Media

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa dirinya tiada niat hendak menayang kertas undi miliknya ketika mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, semalam.

Sebaliknya Menteri Besar Kedah itu memberitahu, insiden itu terjadi di luar kawalan ketika melayan kehendak petugas media yang hendak merakam gambar dan memintanya berpusing ke kanan dan kiri.

“Tak terniat saya untuk pamer tetapi bila kelam-kabut melayan permintaan rakan-rakan wartawan, bila saya pusing sana, pusing sini kertas itu terbuka, dia lipat dua, bila lipat nak masuk dalam tong, depa kata pusing sini dulu, saya pusing.

“Saya layan kehendak wartawan, tapi mereka perkena saya ‘tang’ (pada) gambar itu, kalau saya nak pamer saya kena angkat macam tu (lebih tinggi),” katanya kepada pemberita.

Tindakan Muhammad Sanusi itu menyebabkan beliau didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dimana peruntukan kesalahan itu menyebut seseorang boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu gambar yang menyaksikan beliau memegang mula hadapan kertas undi dan pilihan undinya dikritik pengguna media sosial.

Menjelaskan lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa, gambar itu seolah-olah sengaja disiarkan oleh petugas media terbabit kerana terdapat lebih banyak gambar lain yang boleh dipilih untuk disiarkan.

“Saya rasa satu etika yang tak bagus untuk wartawan kan, banyak lagi gambar yang elok pasaipa (kenapa) pilih gambar itu.

“Saya akan cari dia sampai lubang cacing untuk bagi nasihat kepadanya, jadilah mata lebah jangan jadi mata lalat, orang nak kenakan saya banyak, menteri pun ada turun sini nak kenakan saya, (tapi) tak kena pun, jadi jangan buat kerja macam tu, banyak lagi gambar lain yang lebih proper (baik),” katanya.

Keputusan PRN Kedah malam tadi menyaksikan Muhammad Sanusi berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 16,050 pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau memperoleh 21,823 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang memperoleh 5,773 undi.

BBerkaitan

Latest articles