Rundingan Guaman Percuma, Termasuk Pengurusan Harta Pusaka Diteruskan Jika Menang

KUALA LUMPUR: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin mahu memperluaskan khidmat rundingan guaman secara percuma, sekiranya dipilih sekali lagi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

Jika sebelum ini beliau banyak menumpukan soal jenayah dan sivil, di penggal akan datang, Imran memberitahu mahu membantu rakyat di kawasannya dalam bidang pengurusan harta pusaka.

“Untuk menambah baik khidmat kita di masa akan datang, saya berhasrat untuk memanjangkan khidmat guaman ini, kali ini kita akan juga beri tumpuan kepada soal pengurusan harta pusaka.

“Sebab pada saya, masyarakat di daerah Sabak Bernam ini masih kurang kesedarannya dalam hal menguruskan harta si mati.

“Malah ada dalam keadaan tertentu sudah masuk dua, tiga generasi pun masih belum dapat diuruskan dengan baik, sedangkan ia akan membawa masalah dari segi pengurusan dan pentadbiran, selain akan membuku ruang kepada perbalahan dan perselisihan faham anggota keluarga,” katanya ketika ditemui media, selepas meneruskan kempen bersama penduduk setempat, hari ini.

Mohd Imran, merupakan seorang peguam dan memegang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar.

Beliau dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi N03 Sungai Panjang.

Dalam pada itu, Mohd Imran memberitahu, peluang menjadi wakil rakyat sekali lagi di kerusi yang sama akan dimanfaatkan sebaik-baiknya, termasuk meneruskan insiatif rakyat yang pernah dilakukan bekas penyandang, Datuk Budiman Zuhdi.

“Tahun 2018 yang lalu, saya bertanding sebagai calon mewakili kerajaan, namun keputusan sebaliknya menyaksikan kita menjadi pembangkang.

“Sudah pasti banyak perkara tertangguh. Contohnya banyak inisiatif yang dilakukan Budiman dahulu, seperti Ambulan Rakyat, Tusyen Rakyat, Bantuan one-off pelajar cemerlang peperiksaan dan saguhati masuk universiti.

“Jadi tawaran saya untuk PRN kali ini adalah menyambung kembali segala yang tergendala. Contohnya dalam tempoh seminggu selepas saya menang, kita akan lancarkan kembali Ambulan Rakyat bagi kemudahan rakyat di Sungai Panjang,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan pengundi terhadapnya sepanjang berkempen, Mohd Imran memberitahu beliau menerima sokongan yang baik, malah menghargai usaha jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang saling bekerjasama.

BBerkaitan

Latest articles