GUA MUSANG: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua kementerian serta agensi memastikan setiap projek yang diumumkan kerajaan dapat dilaksanakan segera.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, ini kerana beliau tidak mahu projek berkenaan hanya diumum semasa menjelang PRN namun ia tidak dilaksanakan seperti dijanjikan selepas pilihan raya.
“Jangan umum masa PRN, lepas itu lupa. Saya tidak mahu macam itu dan disebabkan itu saya minta semua agensi mesti memantau projek masing-masing.
“Mesti laksanakan projek yang diumum dan sekiranya berlaku kelewatan, ia perlu dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika berucap pada program sentuhan kasih desa peringkat Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar berkata, ini termasuk projek menambah baik jalan di kawasan perkampungan Orang Asli di Kelantan yang diumumkan Zahid dalam program itu.
Perdana menteri berkata, ini sekali gus menunjukkan keprihatinan Zahid selaku menteri kemajuan desa dan wilayah terhadap kebajikan Orang Asli dengan memberi tumpuan untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi golongan itu.
Terdahulu, Zahid dalam ucapannya mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi projek menambah baik jalan melibatkan kawasan Kuala Betis-Pos Balar dan Pos Belatim-Kuala Betis-Pos Bihai, masing-masing di Gua Musang.
“Saya selaku menteri kewangan tahu bahawa jumlah itu bukan kecil. Namun saya harap ia dapat disegerakan.
“Saya juga minta pegawai atasan daripada agensi berkaitan projek itu untuk memberikan laporan kemajuan jalan di perkampungan Orang Asli terutama di Hulu Kelantan dari semasa ke semasa,” katanya.
Anwar juga menggesa semua pihak memberi tumpuan terhadap masalah dihadapi Orang Asli seluruh negara malah meminta masyarakat dan pihak berkaitan memberi cadangan dalam menambah baik serta menjamin kehidupan Orang Asli.
“Kita perlu anggap masalah Orang Asli adalah masalah kita, keluarga Orang Asli adalah keluarga kita, dan anak Orang Asli adalah anak kita. Jika tidak puas hati dengan pelaksanaan yang kerajaan sedang lakukan, beri cadangan sebab kerajaan tidak anggap kami sempurna.
“…tetapi kerajaan pegang amanah dan akan bekerja sedaya upaya untuk melaksanakan perubahan,” katanya. – Bernama