KUALA LUMPUR: Selepas intipati ceramahnya tular yang didakwa menyentuh isu kaum (race), agama (religion), dan institusi Diraja (royalty) atau 3R, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ia sudah memulakan siasatan terperinci terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ujar Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rasid, siasatan ke atas Menteri Besar Kedah itu termasuk juga kenyataannya yang didakwa menghina dan merendahkan Sultan Selangor.
“Siasatan ini akan mengambil masa tujuh hari untuk kita lengkapkan beserta tindakan lanjut.
“Kita ada pasukan petugas khas yang terdiri daripada 21 pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat kes-kes berkaitan 3R.
“Apabila siasatan siap, kertas siasatan itu akan kita rujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Menara 1, Bukit Aman.
Tambah Razarudin, isu-isu berkaitan 3R kerap dimainkan terutama apabila masa hampir dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Dalam soal ini, saya juga memberitahu bahawa apa jua perkara sensitif melibtkan 3R kita akan siasat. Dalam siasatan 3R ini daripada 27 Mac lalu sehingga kini kita PDRM telah membuka kertas siasatan berjumlah 61 kes termasuk terbaharu membabitkan Sanusi semalam dan ada diantaranya sudah dirujuk kepada tindakan Jabatan Peguam Negara.
“Selain Sanusi, kita juga sedang menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Mahahir Mohamad, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang selain beberapa NGO yang berkaitan politik selain figura-figura politik,” ujarnya.
Terdahulu, PKR Shah Alam membuat laporan polis terhadap Sanusi dan berkata pentas ceramah politik tidak seharusnya menjadi medan membaut penghinaan terhadap institusi diraja.
Dalam ucapan Sanusi yang tular sejak semalam, pemimpin PAS itu dipaparkan seolah-olah menyentuh isu perkenan Sultan Selangor berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.