MELAKA: Seorang wanita maut selepas bertindak menikam dirinya sendiri, dalam satu kejadian Taman Kota Laksamana, petang semalam.
Terlebih dahulu, wanita berusia 57 tahun itu bertindak menikam anak lelakinya yang juga orang kelainan upaya (OKU) di bahagian leher.
“Saya terkejut ketika mendapat panggilan dari ibu kira-kira pukul 3 petang tadi mengatakan kakak saya sudah berlumuran darah selepas menikam dirinya sendiri.
“Sebelum itu, kakak saya dikatakan sempat menikam anak lelakinya di leher dan menikam dirinya sendiri di perut sebanyak tiga kali dengan sebilah pisau,” demikian menurut salah seorang ahli keluarga wanita berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian hanya kakaknya dan anak saudara lelaki OKU yang berusia 26 tahun berada di rumah.
Sebaik mendapat tahu kejadian, katanya, saudara yang tinggal berhampiran segera ke rumah kakaknya itu untuk melihat keadaannya.
“Saudara bagaimanapun takut untuk memasuki rumah sebelum saya tiba beberapa minit kemudian dan melihat anak saudara lelaki dalam keadaan berlumuran darah di leher.
“Dia sempat beritahu ibunya sedang memegang pisau di dalam rumah namun saya bertegas untuk cuba menyelamatkannya.
“Sebaik memasuki rumah di tingkat atas, saya melihat kakak sudah berlumuran darah dengan keadaan badan tersembam,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini, malam ini.
Tambahnya, ahli keluarga yang lain kemudian membawa anak saudaranya yang cedera di leher mendapatkan rawatan di hospital sebelum menghubungi ambulans.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian.
“Siasatan awal mendapati kes diklasifikan sebagai mati mengejut dan kita percaya mangsa bunuh diri,” katanya.