PN Sapu Bersih PRN Jika Kerajaan Anwar Kerap Reka Tuduhan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghentikan aktiviti mencipta pelbagai tuduhan yang bukan-bukan terhadap para pemimpin gabungan berkenaan.

Malah Presiden Bersatu itu juga mendakwa tindakan menyerang PN itu akan dibalas rakyat dengan memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Untuk rekod negeri-negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Sekarang ini kalau boleh dihitamkan muka saya dan semua (pemimpin PN) ini, kata (kita ini) perompak dan lanun supaya rakyat tak sokong kita.

“Tapi saya percaya gelombang PN yang sudah pun kita lihat (pada) PRU lalu akan terus melanda negara ini (dan) enam buah negeri ini akan tarah. There will be backlash (akan ada tindak balas). Saya nak bagi amaran,” kata Muhyiddin dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, tuduhan dibuat Anwar kononnya berlaku penyelewengan dana semasa beliau menjadi perdana menteri hanya ciptaan demi menghasut rakyat membenci PN.

Malah beliau mendakwa pentadbiran kerajaan hari ini nampak berniat jahat dengan membuat tuduhan yang tidak berlaku kononnya berlaku pelbagai penyelewengan semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Saya perhatikan kepimpinan kerajaan hari ini cenderung untuk mengambil tindakan-tindakan berbentuk, dengan izin, witch-hunting atau mencari kesalahan kerajaan dahulu yang sebenarnya tidak wujud,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles