KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan bakal mencalonkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor jika menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam beberapa bulan lagi.
Difahamkan PRN dijangka diadakan sebelum bulan Jun tahun ini.
Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, berkata peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa untuk kembali memimpin negeri ini.
BH melaporkan, Dr Zulkafperi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, semua keputusan terletak kepada kebijaksanaan kepimpinan PN bagi menentukan calon terbaik menjawat jawatan berkenaan.
Namun PN sedar bahawa, Azmin berdepan tugas berat mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kerusi itu dijangka sengit kerana pengundi Melayu tidak sampai 50 peratus dan ia semestinya sukar,” katanya.
Azmin yang juga mantan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum itu pernah menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 dan menjadi ADUN Bukit Antarabangsa sejak 2008.