KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau mengesan banyak ‘kecurangan’ yang dianggapnya keterlaluan di Kementerian Kewangan.
Ini dibuktikan semasa beliau sendiri melihat dan menyemak fail-fail di kementerian berkenaan.
“Namun urusan untuk menyiasat bukan urusan saya. Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Senat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.
Anwar memberitahu beliau perlu menyebut hal sedemikian kerana mahu penjawat awam memahami bahawa ketelanjuran tidak harus berterusan.
“Sebagai contoh, projek tebatan banjir adalah hal mendesak dan ia akan diluluskan tanpa tender bagi memudah dan menyegerakan projek tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kepentingan rakyat,” katanya.
Selain itu, Anwar menjelaskan, budaya kesederhanaan yang dilakukannya ketika ini, dimulakan dari peringkat atasan kerana menganggapnya adalah tidak adil untuk menyergah pejabat daerah atau negeri terlebih dahulu tetapi di peringkat Persekutuan budaya itu kekal bobrok.
Anwar juga mengingatkan semua pegawai kanan dan ketua jabatan Kerajaan Persekutuan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua negeri.
Oleh itu katanya, layanan kepada setiap negeri adalah setara dan saksama.
“Saya hadir ke Terengganu tadi bukan untuk mencerca sesiapa, tetapi untuk berpakat demi kepentingan rakyat,” katanya.
“InsyaAllah saya akan ketemu Kerajaan Terengganu setelah suhu politik dileraikan.
“Saya turut memberitahu perkara tersebut kepada Tuanku Sultan Terengganu dalam sesi menghadap pagi tadi,” katanya.
Beliau juga menyeru penjawat awam agar menerapkan prinsip akauntabiliti demokrasi dalam mendirikan kebijakan yang baik untuk rakyat.
“Kita sebagai pembuat dan pelaksana dasar tidak harus bersikap leka dan mesti buat sedaya upaya untuk memungkinkan perubahan,” katanya.
Anwar berkata, beliau amat berharap agar semua pihak dapat menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menghentikan sentimen politik yang keterlaluan serta merosakkan.