KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kuasa meluluskan tender berkenaan pengambilalihan syarikat Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi menguruskan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tertakluk dibawah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS) yang dikendalikan Datuk Seri Mustapha Mohamed, pada waktu itu.
Annuar sekaligus menafikan beliau terlibat dalam memberi kelulusan tender tersebut semasa menjadi Menteri.
“Awal-awalnya ada satu syarikat nak buat, saya cakap bukalah ramai-ramai. Dua, tiga orang datang melalui saya bawa surat. Saya senang sahaja, saya panjangkan pada pentadbiran. Saya cakap buat penilaian, buat kertas kerja, jangan main mulut-mulut…
“Saya punya dasar walaupun saya menteri, saya tak campur tender, saya tak campur urusan ini. (Pihak kementerian) buat semua penilaian dan dia bagi penerangan pada saya.
“Tapi saya tak ada kuasa nak meluluskan kerana itu kuasa UKAS di bawah Mustapha Mohamed. Apa-apa urusan pentadbiran perlu diangkat ke situ,” katanya memetik program bual bicara bersama Sinar Harian yang disiarkan secara atas talian.
Dalam masa yang sama Annuar juga menolak dakwaan dirinya kenal rapat dengan pengarah Hydroshoppe.
“Ada penulis tulis, director (pengarah) tu kawan rapat saya. Saya tak kenal director berkenaan…. Saya serahkan kepada peguam untuk menilai kenyataan-kenyataan, kalau cross the line (fitnah) kita guna undang-undang,” katanya.
Ketika ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah memulakan siasatan sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100% saham TM di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.
Seramai tiga saksi dipanggil untuk siasatan, selain mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti berhubung perkara tersebut.
TM dalam kenyataannya hari ini berkata keputusannya untuk tidak lagi memegang konsesi bagi pengurusan Menara KL kerana mahu menumpukan kepada perniagaan terasnya iaitu perkhidmatan telekomunikasi.
Syarikat berkaitan kerajaan itu juga menafikan dakwaan bahawa rancangan berkenaan dibuat secara senyap-senyap.
Menurut TM, perubahan dalam pegangan saham Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, yang merupakan syarikat yang menguruskan Menara KL, telah dimaklumkan kepada Bursa Malaysia melalui pengumuman kewangan TM pada suku ketiga 2022.