KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, kerjasama yang terjalin bersama DAP, kerana mengambil contoh ‘teladan’ pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Zahid mempertikaikan jika Tun Dr Mahathir boleh ‘berpelukan’ dengan DAP sewaktu Pakatan Harapan (PH) bergelar kerajaan meskipun dianggap seteru sebelum ini, mengapa tidak Barisan Nasional (BN) dan UMNO sekarang tidak boleh melakukan tindakan sama.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berkenaan ketidakpuasan hati mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan yang turut disertai parti komponen Pakatan Harapan (PH), DAP.
“Patut marah Dr Mahathir dulu. Dia yang bawa DAP masuk dalam Kerajaan PH pertama kali. Patut marah pada dia.
“Dia (Tun M) yang mendoktrinisasi kami selama 22 tahun dan memberikan gambaran yang sangat negatif terhadap parti itu. Tetapi akhirnya mendakwa parti itu dan ini kita lihat bahawa PPBM (BERSATU) juga berdakapan secara politik dengan parti itu.
“PAS juga pernah (bersama DAP). Yang belum berdakapan hanya UMNO dan BN. Kita tidak pernah terlepas daripada tali ikatan terhadap apa yang tercatat di dalam Perlembagaan dan falsafah parti kita,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian dalam program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik – Apa Untung Pada Negara, yang berlangsung secara dalam talian malam tadi.