PM Umum Batal Sambutan Tahun Baru, Rakyat Bergelut Bencana Banjir

KUALA LUMPUR: Berikutan keadaan beberapa negeri yang dilanda musibah banjir, kerajaan hari ini mengumumkan untuk membatalkan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka pada 31 Dis ini.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet, hari ini.

“Oleh kerana keadaan banjir dan kesusahan rakyat, kita putuskan sambutan besar-besaran ambang Tahun Baharu 31 Dis di Dataran Merdeka dibatalkan,” katanya.

Mesyuarat Kabinet hari ini juga memberi tumpuan soal banjir di Kelantan dan Terengganu, dimana Anwar sendiri akan turun ke Kelantan bagi meninjau keadaan di sana petang ini.

Menurutnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah sampai di kedua-dua negeri berkenaan dan memantau serta mengambil beberapa tindakan segera, dan telah melaporkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat tadi.

“Saya akan ke Kelantan dan pengumuman (berkaitan) banjir akan diumumkan di sana setelah mendengar pandangan di lapangan dan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Anwar berkata, mesyuarat Kabinet juga ada membincangkan sepintas lalu mengenai perkembangan di Parlimen dua hari lepas berhubung usul percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lepas.

Ahli Parlimen Tambun itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 apabila usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid.

“Kita boleh tumpu sekarang soal kerja, menjana pertumbuhan ekonomi dan lebih pesat, kerana mandat yang diberikan itu jelas.

“Hampir sebulat suara pada hari berkenaan (dan) walaupun kalau ada pengundian, undi dua pertiga itu memang terjamin. Jadi saya ambil kesempatan ucap terima kasih pada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, dan kebetulan dalam kes ini tidak ada yang bantah dari pihak pembangkang,” katanya.

Beliau berkata mandat besar yang diterima adalah untuk kerajaan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap menjamin tata kelola pemerintahan dan urus tadbir yang lebih berkesan untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara.

BBerkaitan

Latest articles