KUALA LUMPUR: Apakah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin lupa bahawa perlantikan Perdana Menteri adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan?
Itu persoalan ditimbulkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas Muhyiddin dilihat asyik mengkritik pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bahkan Presiden Bersatu itu juga menuduh penubuhan kerajaan yang mendapat perkenan Agong itu wujud atas penipuan terhadap mandat rakyat.
“Dengan kata lain, pelantikan Perdana Menteri kemudian disusuli oleh pelantikan ahli jemaah Menteri ialah perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini dan tindakan Mahiaddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Mahiaddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu,” tegas Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid juga menyifatkan serangan Muhyiddin dan rakan-rakan komponen PN menyerlahkan lagi bahawa mereka gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menggesa PN untuk mencontohi DAP yang lebih mementingkan negara berbanding parti dan individu selain bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan.
“Belajarlah juga menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Kerajaan ini bukan kerajaan Pakatan Harapan. Akan tetapi ialah Kerajaan Perpaduan hasil daripada gabungan parti terbesar dan parti-parti kecil lain yang memenangi pilihan raya bekerjasama dengan parti-parti lain untuk membina negara dan mentadbir lebih baik daripada kerajaan-kerajaan terdahulu,” katanya.