KUALA LUMPUR: DAP memaklumkan ia akur dan memberi sokongan jika Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan mahu membentuk kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).
Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, pendirian DAP itu dipersetujui mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) sejajar dengan keputusan kepemimpinan tertinggi PH.
“Ia adalah keputusan kita ambil bersama, bukan sahaja dalam mesyuarat CEC. Terpulang kepada pimpinan tertinggi PH. Kita akan sokong keputusan mereka buat.
“Kita sebahagian PH, jadi kalau PH ada dasar itu (bergabung dengan BN) kita bersamalah dengan keputusan PH,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Reaksi Guan Eng itu merujuk kepada pertemuan bersama kepimpinan tertinggi PH dengan BN di ibu negara hari ini.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi pakatan itu mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi BN diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dilaporkan membincangkan pembentukan kerajaan perpaduan.