KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberi persetujuan penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).
Beliau merujuk kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zahari Abang Openg bahawa GPS bersama BN, Perikatan Nasional dan GRS bersetuju menubuhkan kerajaan Persekutuan.
“Tiada sebarang rundingan antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Memetik kenyataan yang sama juga, Ahmad Zahid turut mengingatkan kesemua ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepadanya selaku Presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.
Sehubungan itu, katanya, mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen.
Beliau berkata, ia selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.