Buat pilihan bijak calon yang boleh jaga rakyat, bukan mendatangkan masalah
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap rakyat akan memilih calon wakil rakyat yang mampu menjaga rakyat dan bukan yang mendatangkan masalah kepada rakyat.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pengerang itu berkata beliau juga berharap rakyat akan membuat pilihan bijak mengambil kira calon yang akan bersama rakyat untuk tempoh lima tahun.
“Calon berkenaan juga mestilah calon yang perlu jaga kita bukan kita jaga dia dan bukan calon yang akan memberi masalah kepada kita. Jadi undilah dengan bijak untuk masa depan kita sebab itu tangungjawab kita.
“Jangan undi kerana dendam, kerana benci sebab kalau dendam benci kita akan wujudkan kesusahan kalau kita salah pilih bukan sahaja kepada diri, keluarga bahkan kawasan kita.
“Saya lihat pada tahun 2018 pekara itu sudah berlaku hari ini masa perbetulkan apa berlaku pada 2018 supaya kita dapat barisan kepimpinan kerajaan yang memberi keutamaan kepada kita terutama di kawasan Pengerang yang wujudkan perjuangan untuk agama bangsa tanah air (ABATA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Penawar hari ini.