Anwar Keterlaluan, Berpolitik Juga Ada Batasan

KLUANG: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ada anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menyifatkan ia sebagai keterlaluan, Hishammuddin juga menbangkitkan persoalan adakah Presiden PKR itu mahu menidakkan integriti dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) demi mencapai kepentingan politik yang sempit.

“Saya lihat tindakan Anwar ini mengheret ATM dalam permainan politiknya itu, bukan sahaja membuat pasukan keselamatan kita marah tetapi orang ramai juga berpendapat perlu ada had dan batasan dalam berpolitik,” katanya selepas menghadiri Program Jom Santai Bersama Orang Muda Sembrong di Ngepot Kabin, malam tadi.

Terdahulu Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu mengulas dakwaan Anwar semasa ceramah PH di Kuala Terengganu, kononnya terdapat kem tentera di Bera, yang melaksanakan undian awal semalam.

Bukan itu sahaja Anwar turut menuduh anggota-anggota tentera itu juga dibayar RM300.

Hal itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri yang juga calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta Anwar menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf kepada anggota ATM, kerana menuduh mereka menerima wang dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau tidak menolak mungkin yang didakwa sebagai undi awal itu ialah undi pos kepada anggota pasukan keselamatan, yang boleh memohon untuk mengundi secara pos, jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas.

BBerkaitan

Latest articles