CYBERJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, berpandangan pengisytiharan harta terpulang kepada pendirian parti masing-masing.
Beliau berkata, tindakan calon PKR mengisytihar harta adalah pilihan mereka yang juga dilihat berbeza dengan pendirian rakan komponen, DAP.
Khairy yang juga Menteri Kesihatan turut menyifatkan bahawa pengisytiharan harta adalah perkara penting.
Malah katanya, beliau juga tidak ada masalah untuk berbuat demikian sekiranya dipilih dan dilantik dalam kerajaan.
“PKR nak buat takpalah, tapi rakan mereka tidak ikut sama juga, DAP pun tidak buat jadi masing-masing ada pendirian masing-masing.
“Pendirian kami (Barisan Nasional) ialah untuk buat setelah dilantik jawatan kerajaan,”
“Ini memang amalan kita daripada dulu lagi, saya pun dah isytihar harta saya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disenaraikan bukti-bukti dan julat nilai harta mengikut yang diisytihar,”katanya.
Beliau berkata demikian, pada sidang media selepas melancarkan Pengoperasian Hospital Cyberjaya, di sini, hari ini.
Khairy berkata demikian ketika ditanya adakah langkah PKR dalam pengisytiharan harta wajar diikuti semua parti.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, setiap calon parti itu pada PRU15 perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, dasar itu berbeza dengan DAP, apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata mereka hanya akan berbuat demikian sekiranya dipilih mengangkat sumpah sebagai menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan.