Tiada Calon Kedua PM, Bukan Masa Melawak Beruk

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah selaras keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Annuar menegaskan jika parti itu mempunyai calon lain, ia mestilah ditolak.

“Sekiranya kita cukup kerusi Parlimen untuk menubuhkan kerajaan, maka tiada calon kedua daripada UMNO melainkan hanya Ismail Sabri calon tunggal dikemukakan parti.

“Kita mesti bersatu hati dalam perkara ini dan hanya PAU sahaja boleh mengubah keputusan parti,” katanya selepas merasmikan majlis Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia di Felda Bukit Cherakah, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, keputusan PAU itu perlu dihormati, hanya menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong mengenai calon Perdana Menteri.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan soal memilih calon Perdana Menteri bukan boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Jangan ubah-ubah (calon Perdana Menteri). Ini bukan masa hendak ‘melawak beruk’ (mempersenda) dan tidak dibuat main-main. Kita akan mendokong keputusan PAU menamakan Ismail Sabri selaku calon Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, Naib Presiden UMNO yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera itu seorang pemimpin yang boleh menstabil dan menyelesaikan masalah negara dengan baik.

“Kerajaan pada waktu itu (sebelum pembubaran Dewan Rakyat) tidak stabil. Beliau (Ismail Sabri) stabilkan, yang bergaduh beliau damaikan. Malah, beliau juga berjaya membina kedamaian dengan pembangkang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles