PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya Datuk Mohd Nizar Najib mendapat restu dan sokongan padu anggota keluarga yang mendoakan perjuangan pertamanya sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ibunya, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 66 berkata, dia akan sentiasa menjadi penyokong kuat kepada Mohd Nizar berusia 44 tahun.
“Saya harap semuanya akan berjalan lancar untuk dia (Mohd Nizar), Insya-Allah. Saya juga berharap dia diberi mandat oleh penduduk di kawasan Peramu Jaya, sekali gus dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka jika dipilih pada PRU ke-15 kali ini,” katanya seperti mana memetik laporan BH, hari ini.
Mohd Nizar turut memaklumkn beliau berkesempatan berjumpa bapanya, Datuk Seri Najib Razak untuk mendoakan kejayaannya sebagai calon.
Bahkan beliau berharap dapat mengikut kepimpinan bapanya dalam menabur khidmat kepada rakyat.
“Amat penting untuk dapatkan restu mereka, lagi pun ini adalah sebagai hormat kepada ibu bapa sebagaimana ajaran agama kita juga.
“Sebelum ini saya juga telah bertemu dengan daddy (Datuk Seri Najib Razak) dan dia amat gembira apabila saya dicalonkan sebagai wakil rakyat di DUN Peramu Jaya sambil mendoakan kejayaan besar berpihak kepada saya.
“Sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat saya akan berusaha membangunkan kawasan Peramu Jaya sambil mengikut corak kepimpinan digunakan daddy,” katanya.
Sebagai muka baharu, Mohd Nizar berjanji akan bersama membantu memperkukuh kerajaan negeri jika diberikan peluang oleh rakyat untuk berkhidmat.
“Saya akan fokus kepada usaha membangunkan anak muda dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran golongan itu selain membantu menarik pelaburan baharu ke kawasan Pekan,” katanya.