Teka-Teki Calon BN Di Kuala Nerus Bakal Terjawab Petang Inj

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) akan membuat keputusan berhubung calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Parlimen Kuala Nerus selewat-lewatnya petang ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata, pengesahan berkenaan akan menjawab teka-teki calon yang dipilih di kerusi berkenaan.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar bagaimanapun mengakui tidak tahu perincian lebih lanjut mengenai lokasi atau siapa yang akan membuat pengumuman itu.

“Pihak kami pun masih lagi menunggu keputusan akhir siapakah calon di Parlimen Kuala Nerus yang bagaikan dalam keadaan tergantung.

“Setakat ini, kami belum terima sebarang maklumat mengenai itu. Mungkin petang nanti semua akan mengetahui jawapannya,” ujar beliau.

Ahmad berkata demikian selepas menyerahkan watikah perlantikan lapan calon Parlimen Terengganu untuk menghadapi PRU-15.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 1 November lalu tidak mengumumkan nama calon BN di Kuala Nerus sehingga menimbulkan persoalan ramai.

Kerusi itu menjadi antara lokasi tumpuan penganalisa politik dan juga rakyat kerana melibatkan penyandang iaitu bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

BN sebelum ini dijangka mempertaruhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman atau Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusof.

BBerkaitan

Latest articles