“Kepada Yang Tidak Tercalon Itu Berbesar Hatilah” – Tok Mat

SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan mana-mana pemimpin parti itu yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu berbesar hati.

Beliau berkata, bagaimanapun ia adalah lumrah yang perlu didepani setiap kali menjelang pilihan raya di pelbagai peringkat.

“Kepada mereka yang tidak dicalonkan itu berbesar hatilah, beri peluang kepada orang lain yang dahulunya mendukung kita semasa kita dicalonkan atau diberi mandat untuk mewakili parti.

“Ini proses peremajaan parti, proses kita menyaring dan memilih, pemimpin yang telah kita pilih itu mempunyai kelebihan masing-masing bagi mewakili parti dan jika diberi mandat menubuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita sebelum Majlis Penyerahan Watikah Kepada Calon-Calon Parlimen BN PRU15 Negeri Sembilan di Wisma UMNO hari ini.

Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan itu menjelaskan, beberapa tokoh besar terutamanya membabitkan UMNO mempunyai jiwa besar untuk memberikan laluan kepada calon baharu yang diumumkan dan dipersetujui oleh barisan kepimpinan BN.

“Ramai juga yang ingin lihat calon mereka diberi tempat, tapi insyAllah selepas dua atau tiga hari biasanya dia akan reda.

“Yang penting parti yang akan mengambil tempat dalam pilihan raya. Yang kalah ataupun menang adalah parti. Yang boleh menubuhkan kerajaan juga adalah parti,” katanya.

Mohamad menjelaskan, calon- calon yang dipilih dan disenarai pendek oleh parti itu merupakan wakil parti-parti.

“Parti yang ambil bahagian, BN bertanding, parti mesti menang dan harapan kita untuk kembali semula diberi mandat rakyat mentadbir negara perlu diterjemahkan dalam masa dua minggu ini,” katanya.

Tambahnya, ia merupakan sebahagian proses peremajaan parti BN dan calon yang dipilih mempunyai kelebihan masing-masing.

Sebelum ini beberapa nama besar yang turut melibatkan beberapa Ketua Bahagian UMNO di beberapa buah negeri digugurkan daripada senarai calon dan digantikan dengan muka baharu bagi menggalas tugas pada PRU15 kali ini.

BBerkaitan

Latest articles