“Mana Ada Boikot?” – MIC Jawab Spekulasi Tak Hadir Pengumuman Calon

KUALA LUMPUR: MIC akan kekal bertanding sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), demikian menurut Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran.

Menerusi sidang media parti itu juga, MIC menyatakan gembira dengan peruntukan 10 kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri dan menyifatkan ia keputusan adil yang dibuat BN.

Justeru beliau menegaskan, tiada isu boikot yang timbul apabila barisan kepimpinan tertinggi MIC termasuk beliau tidak kelihatan hadir pada majlis pengumuman calon BN malam tadi.

“Mana ada isu boikot? Kita ada keputusan yang perlu dibuat sebulat suara dan hendak tunjuk kepimpinan parti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tergempar MIC di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Malam tadi, ketidakhadiran pemimpin tertinggi dan calon MIC telah mengundang persoalan sama ada parti komponen BN itu memboikot majlis berkenaan termasuk kemungkinan tidak bersetuju dengan senarai calon yang sudah diputuskan BN, khususnya membabitkan calon mereka.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Vigneswaran menegaskan, kerusi Parlimen Batu kekal milik MIC walaupun Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan ia bertukar menjadi milik parti itu pagi ini.

“Saya tidak tahu dan keputusan calon sudah diumumkan dan kita perlu akur,” katanya yang bertanding di Parlimen Sungai Siput pada PRU15.

Ka Siong berkata, MCA bersetuju bertanding di Batu selepas parti itu ‘menyerahkan’ kerusi Padang Serai kepada MIC.

Semalam, semasa pelancaran calon BN bagi PRU15, Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada mulanya mengumumkan A Kohilan Pillay daripada MIC akan bertanding di Batu.

BBerkaitan

Latest articles