BN Peroleh Kemenangan PRU15 Di Sebalik Pengkhianatan, Tekanan, Kezaliman

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai onak dan duri dilalui gabungan itu dalam tempoh empat tahun selepas PRU14.

Beliau menyifatkan apa yang dihadapi BN amat menguji kesetiaan setiap pemimpin dan ahli-ahlinya.

“Berdepan pengkhianatan, tekanan demi tekanan, kezaliman demi kezaliman namun menganugerahkan sesuatu yang amat berharga kepada kita semua.

“Bahawa kesabaran, kejujuran, keikhlasan dan meyakini ketentuan Ilahi dalam sebuah perjuangan nan luhur bukan sesuatu yang serampangan atau sia-sia,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu, kisah itu barangkali cuma sebahagian daripada peristiwa besar perjuangan BN selangkah demi selangkah menggamit kebangkitan selepas 9 Mei 2018.

“Kini PRU-15 menjelang tiba. Ia destinasi yang kita tujui bersama dengan keringat dan semangat membara untuk menebus kebenaran dan kemenangan,” jelasnya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid mengakui tidak mudah untuk merealisasikan harapan penyokong BN supaya gabungan itu bangkit membuktikan kemenangan dalam PRU15 ini.

Sehubungan itu seluruh ahli BN perlu terus melangkah ke hadapan bagi mengangkat semula BN sebagai sebuah kerajaan dominan demi masa depan Malaysia stabil dan makmur.

“Sederap kita mara lebih tangkas, tersusun, sehati sejiwa untuk menyatakan BN adalah pilihan terbaik untuk diyakini oleh rakyat pada 19 November ini.

“Kepada Tuhan Yang Maha Esa jua kita memohon bantuan dan pertolongan selepas segala daya upaya. Insya-Allah berkat keazaman bersama kita beroleh kejayaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles