KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) perlu fokus untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terlebih dahulu sebelum menumpukan kepada kerjasama dengan parti lain, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ujarnya apa yang penting ketika ini adalah masa untuk fokus kepada PRU-15.
“Kita perlu menang PRU dahulu baru kita nak cakap soal nak gabung ke berunding ke dengan sesiapa pun,” katanya ditemui selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, sebentar tadi.
Reaksi Ismail Sabri merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Faizal Azumu yang menyatakan parti itu komited terhadap usaha penyatuan ummah dan tetap terbuka membentuk kerjasama dengan UMNO menuju PRU-15.
Ismail Sabri berkata, soal kerjasama di antara parti adalah isu besar dan perkara itu perlu diputuskan parti.
“Perkara ini mesti dibawa ke majlis mesyuarat tertinggi parti. Perkara besar seperti ini mesti diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Jadi apa pun MKT tentukan,” katanya.