KUALA LUMPUR: Ahli-ahli UMNO diingatkan tidak melakukan sabotaj kepada calon parti yang bertanding, demi meraih kepentingan tertentu.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sambil menambah setiap ahli UMNO perlu bekerja keras supaya kemenangan parti dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.
“Paling malang jika terdapat unsur-unsur sabotaj kepada calon yang bertanding kerana sabotaj akan pasti membawa kepada kekalahan dan yang rugi adalah parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, setiap calon yang bertanding bukan atas kepentingan diri sendiri tetapi atas nama Barisan Nasional (BN), justeru sesiapa pun yang dicalonkan mesti disokong kerana mereka mewakili parti.
“Kita bekerja kuat untuk memastikan parti menang bukan bekerja kuat untuk memastikan kita bertanding dan menang untuk diri sendiri, parti yang lebih penting.
“Saya ucap terima kasih kepada ramai yang bekerja kuat untuk kemenangan parti. Untuk diri sendiri berangan-angan sikit sikit itu, okay tidak ada masalah.
“Tetapi jangan kerana kita nak bertanding tetapi tidak dapat bertanding kita sabotaj kawan yang bertanding. Itu yang tak boleh bergerak ke hulu ke hilir untuk pastikan calon kita kalah,” katanya.