Muhyiddin Diingatkan Jangan Salahkan PM Atas Kelemahan Sendiri

KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan sikap Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuding jari menyalahkan orang lain menyerlahkan lagi kelemahan daripada hasil kerjanya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata meskipun Muhyiddin berhak mengemukakan segala pandangan, tetapi terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya.

“Lagi pun kerajaan mempunyai pelbagai aspek yang harus diambil kira dan disebabkan kerana cadangan itu datang dari MPN, tidak semestinya dilaksanakan secara automatik.

“Beliau harus bertindak dalam semangat kolektif kerana beliau adalah sebahagian dari kerajaan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin semalam, yang dilaporkan berkata, MPN tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan semua 95 perakuan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanannya sejak tahun lalu.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata kuasa berkenaan terletak pada Perdana Menteri dan Kabinet dengan MPN berfungsi sebagai badan penasihat kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata Presiden Bersatu itu seolah lupa bahawa sebahagian besar masalah yang kerajaan hadapi sekarang adalah diwarisi dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. Saya percaya Perdana Menteri dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles