KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pihak yang menentukan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak berasas dan bercanggah dengan kedudukan kuasa pengampunan seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menegaskan keputusan berhubung pengampunan terletak dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong menerusi Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan meletakkan kuasa pengampunan pada Yang di-Pertuan Agong melalui proses Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh baginda.
“Adakah anda sedang mempertikaikan kuasa pengampunan Agong?” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial.
Tengku Zafrul berkata, perbezaan pandangan terhadap keputusan itu adalah perkara yang boleh dibincangkan, namun fakta berkaitan peruntukan Perlembagaan tidak seharusnya diputarbelitkan atas pertimbangan politik.
“Jangan sampai fakta Perlembagaan pun kita pusing semata-mata kerana politik,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan keputusan terhadap Najib bukan pengampunan penuh, sebaliknya pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Menurut ketetapan yang diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman sehingga 23 Ogos 2028 secara tahanan di rumah dengan syarat membayar denda RM50 juta.
Sekiranya mana-mana syarat pengampunan itu dilanggar, pengampunan berkenaan terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukumannya di penjara.
Tengku Zafrul turut mengingatkan pihak yang mempertikaikan keputusan itu supaya tidak mengaitkan kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri semata-mata untuk meletakkan tanggungjawab politik ke atas Anwar.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sebelum ini menjelaskan bahawa Perdana Menteri dan Peguam Negara memberikan nasihat mengenai implikasi undang-undang, kestabilan negara serta prinsip negara hukum, manakala keputusan pengampunan adalah dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.










