Kebebasan Seni Bukan Tiket Hina Rukun Negara – Budiman

KUALA LUMPUR: Kebebasan dalam berkarya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempersendakan Rukun Negara atau menyentuh perkara sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), tegas Ketua Lembaga Penasihat Yayasan Rukun Negara, Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi.

Beliau berkata, pementasan yang kembali tular di media sosial itu dilihat keterlaluan kerana didakwa mempersendakan prinsip Rukun Negara, selain menyentuh perkara yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Menurutnya, Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dibacakan dalam majlis rasmi, sebaliknya merupakan doktrin dan falsafah kebangsaan yang lahir daripada pengajaran pahit peristiwa 13 Mei 1969.

Katanya, Rukun Negara diisytiharkan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada 31 Ogos 1970.

“Justeru, Rukun Negara tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan sebagai bahan persendaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Budiman berkata, ruang seni sememangnya terbuka untuk mengkritik, menegur dan mengangkat pelbagai persoalan mengenai masyarakat, namun kebebasan tersebut tetap perlu disertai batas, adab serta tanggungjawab.

“Tidak ada sesiapa yang berhak mempermainkan asas kenegaraan atau merendahkan penghormatan terhadap Rukun Negara atas nama seni,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Perpaduan Negara serta agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya dengan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pementasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan tidak seharusnya terhad kepada kandungan pementasan, sebaliknya turut meneliti pihak yang terlibat dalam penerbitan serta penyebaran rakaman tersebut.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung rakaman yang tular itu, manakala siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

MCMC pula memaklumkan semakan awal mendapati rakaman berkenaan bukan daripada pementasan baharu, sebaliknya klip yang berasal daripada sebuah persembahan pada 2018 dan kembali tersebar di media sosial.

Video berdurasi kira-kira 10 minit itu sebelum ini dimuat naik di Instagram oleh akaun ‘The Fever Kinetic Theatre’ dan didakwa mengandungi unsur yang mempersendakan institusi raja, Malaysia serta Rukun Negara.

‘The Fever Kinetic’ merupakan kumpulan teater fizikal antara budaya yang beroperasi di London, United Kingdom (UK) dan Malaysia, selain diasaskan oleh seorang koreografer tempatan.

Pementasan berkenaan dipercayai pernah dipersembahkan dalam acara ‘Theatre for The Arts’ pada 2018 sebelum rakamannya dimuat naik semula bersempena sambutan Hari Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles